SKUAD Darul Naim ceria menerima hadiah pada kemuncak program di Klang.
SKUAD Darul Naim ceria menerima hadiah pada kemuncak program di Klang.
Mohd Badlishah Mohd Ali


Klang: Nama Darul Naim sememangnya tidak lagi perlu diperkenalkan dalam arena futsal tempatan terutama bagi kategori bawah 16 tahun.

Ini kerana Darul Naim sering menyertai mana-mana pertandingan di seluruh negara dan ketika menyertai Liga Futsal Junior Selangor 2017 baru-baru ini, mereka muncul naib juara selepas tumbang 2-7 di tangan pasukan pilihan Charo FT di Real Sports Arena, Klang.

Meskipun tewas, Darul Naim wajar dipuji kerana sentiasa cuba menyaingi Charo FT meskipun sedar lawan memiliki barisan pemain yang bukan calang-calang.

Charo FT muncul pasukan pertama layak ke final selepas mengecewakan Bukit Chedang A 8-2 manakala Darul Naim menyusul hasil kemenangan 2-1 ke atas Court Soccer.

Hasil kejayaan itu, Charo FT selaku juara menerima RM3,000 manakala Darul Naim RM1,000. Kedudukan selaku pasukan di tangga ketiga dikongsi bersama Bukit Chedang A dan Court Soccer dengan masing-masing menerima RM500.

Walaupun Darul Naim gagal mengucup trofi kejuaraan, kejayaan layak ke final sudah dianggap mencapai sasaran dan jurulatih Mohd Rosli Mat Ariffin tetap berpuas hati dengan persembahan serta komitmen anak buahnya.

Kejohanan Liga Futsal Junior Selangor 2017 anjuran Football Selangor yang diuruskan Kumpulan Sportseeker disertai 46 pasukan bertanding dalam empat kategori

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 4:20 AM