PASUKAN TOT United muncul naib juara Futsal Liga Ramadan.
PASUKAN TOT United muncul naib juara Futsal Liga Ramadan.
Oleh Mohd Badlishah Md Ali


Sungai Petani: Biarpun mengharungi ratusan kilometer dari Selangor ke Sungai Petani, Kedah namun tidak menghalang skuad TOT United mengecapi kejayaan layak ke final Kejohanan Futsal Liga Ramadan 2015 di SMC Futsal Centre.

Pada aksi final mereka terpaksa akur dengan kelebihan pasukan Ally FT juga dari Selangor apabila tewas 1-3.

Namun bagi pengurus pasukan Mohd Nizam Samsudin tetap bangga dengan kejayaan itu.

“Saya memuji pemain saya yang berjuang habis-habisan dan menunjukkan tahap disiplin tinggi walaupun nampak keletihan.

“Perjalanan ke Kedah memang jauh namun kami bersyukur atas kejayaan ini, ia menyemarak semangat pasukan untuk lebih berjaya pada masa akan datang,” katanya.

Ally FT membawa pulang wang tunai RM3,000 selaku juara manakala TOT United berpuas hati RM1,500 selaku naib juara dan tempat ketiga milik tuan rumah, ZNS Asyimunil RM500.

Sebanyak 64 pasukan amatur seluruh negara mengambil bahagian pada kejohanan itu.

Sebelum itu TOT United juga muncul naib juara Kejohanan Piala Mubarak 2015 selepas tumpas kepada Versus 5 pada final yang berlangsung di Ferro Futsal Subang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:04 AM