MORTADZA (berdiri lima dari kanan) bergambar bersama juara kategori wanita dan lelaki selepas tamat kejohanan.
MORTADZA (berdiri lima dari kanan) bergambar bersama juara kategori wanita dan lelaki selepas tamat kejohanan.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Skuad wanita Bukit Aman muncul juara buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Sarawak pada final Kejohanan Futsal Piala Ketua Polis Negara 2015 di Gelanggang Manjung Indoor Sport Arena (MISA), Seri Manjung semalam.

Kedua-dua pasukan yang terikat 5-5 pada aksi penuh perlawanan itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang berkesudahan Bukit Aman menang 4-3.

Jurulatih pasukan wanita Bukit Aman Koperal Mohd Jefri Darus berkata, walaupun seri 5-5 pada hujung perlawanan, kelebihan mempunyai dua pemain kebangsaan membolehkan mereka mempertahankan kejuaraan.

“Yang membanggakan, salah seorang daripada dua pemain kebangsaan itu dinobat Pemain Terbaik kejohanan,” katanya.

Kejohanan ini turut dianggap medium mencungkil bakat baru pasukan wanita Bukit Aman untuk mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Liga Kebangsaan dan kejohanan Majlis Kebajikan & Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK).

Tempat ketiga milik Selangor dan keempat tuan rumah Perak.

Dalam saingan kategori lelaki pula, Kelantan muncul juara selepas mengalahkan Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, 5-1.

Tempat ketiga milik Negeri Sembilan dan keempat Perak.

Kejohanan itu menyaksikan penyertaan 24 kontinjen yang diwakili 19 pasukan lelaki serta 12 wanita dari seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Mortadza Nazarene yang mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian pasukan wanita yang mengharumkan nama PDRM di peringkat MAKSAK dan akan terus memberikan sokongan sama ada di peringkat daerah, kontinjen dan sebagainya.

“Pasukan wanita kami digeruni dalam Liga Kebangsaan dan mereka setanding dengan atlet sukan lain yang membabitkan pemain PDRM.

“Pembabitan aktif dalam sukan memang digalakkan kerana dapat memupuk nilai positif dan membantu melahirkan warga PDRM yang cergas dan produktif dalam perkhidmatan,” katanya.

Turut hadir, Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah merangkap Pemangku Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim; Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah dan pegawai kanan PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 8:49 AM