MANSUR (tengah) dan Asmey (jersi biru) bersama pemain futsal Sabah yang akan bersaing di Sukan MAKSAK 2024 di Kulai, Johor. FOTO IZWAN ABDULLAH
MANSUR (tengah) dan Asmey (jersi biru) bersama pemain futsal Sabah yang akan bersaing di Sukan MAKSAK 2024 di Kulai, Johor. FOTO IZWAN ABDULLAH
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah menetapkan sasaran untuk memintas kedudukan Selangor dalam aksi futsal lelaki Sukan MAKSAK 2024 di Sport City Indahpura, Kulai, Johor, esok.

Pengurus Pasukan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) Sabah, Asmey Ruddy berkata, pasukannya lebih bersedia untuk membawa cabaran Sabah setelah hanya menduduki lapan terbaik pada Sukan MAKSAK tahun lalu.

Meskipun menyedari kekuatan Selangor dalam arena futsal, beliau tetap yakin terhadap kemampuan 12 pemain Sabah untuk melakar kejutan dengan membawa pulang gelaran juara kali ini.

"Sudah tentu misi kita kali ini untuk menjadi juara. Tahun lalu, kita setakat lapan terbaik, tetapi sebelum ini kita pernah menduduki tiga tempat terbaik.

"Cabaran getir untuk menundukkan Selangor bagi merampas gelaran juara, tetapi saya percaya semua pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi mengharungi perlawanan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan bendera pasukan, malam tadi yang disempurnakan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Datuk Mansur Asun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 6:39 PM