Ismail Abu (dua kanan) meraikan kemenangan Pahang bersama rakan sepasukan. FOTO Ihsan MHC
Ismail Abu (dua kanan) meraikan kemenangan Pahang bersama rakan sepasukan. FOTO Ihsan MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pahang melakar kejutan selepas menewaskan juara bertahan, Melaka 2-1 pada aksi suku akhir Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dibarisi 90 peratus barisan pemain muda yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) Johor tahun depan, Pahang dilihat mendominasi perlawanan sejak daripada awal permainan.

Gol pertama Pahang hadir menerusi jaringan padang kapten pasukan yang juga bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu pada minit ke-18.

Bersambung babak kedua, pemain kebangsaan, Muhammad Firdaus Omar berjaya menyamakan kedudukan untuk Melaka minit ke-35 hasil pukulan sudut penalti.

Namun seminit kemudian, Muhammad Hafiz Mohd Zauri kembali meletakkan Pahang di depan, juga menerusi pukulan sudut penalti dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

"Hampir keseluruhan pemain sudah bersama sejak 2013. Kami turun beraksi tanpa sebarang tekanan dan ia mungkin faktor yang membantu kemenangan hari ini.

"Harap semua pemain akan kekal fokus untuk aksi separuh akhir kerana kami mahu mencipta sejarah baru untuk Pahang," kata ketua jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad.

Pahang akan bertemu juara Piala Tun Abdul Razak 2016, Terengganu pada aksi separuh akhir Khamis ini.

Terengganu mara ke separuh akhir selepas menewaskan Sabah 2-1 di suku akhir hasil jaringan penyerang sensasi, Faizal Saari minit ke-19 dan 54.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 9:11 PM