PEMAIN Kuala Lumpur, Nor Hizzat Sumantri (depan) dihalang pemain Negeri Sembilan, Kevin Kartik a/l Govindasamy.
PEMAIN Kuala Lumpur, Nor Hizzat Sumantri (depan) dihalang pemain Negeri Sembilan, Kevin Kartik a/l Govindasamy.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas sekadar seri pada perlawanan pertama, juara 19 kali Kuala Lumpur kembali membuka peluang untuk melangkah ke separuh akhir Piala Razak selepas menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan kedua Kumpulan B Divisyen 1 semalam.

Ketua jurulatih Muhammad Dhaarma Raj Abdullah bagaimanapun tidak berpuas hati dengan prestasi anak buahnya selepas gagal menyempurnakan banyak pukulan sudut penalti.

“Kadangkala barisan pemain muda agak gementar apabila berdepan dengan penjaga gol berpengalaman seperti S Kumar (Negeri Sembilan). Apapun, ini adalah sebahagian proses pembelajaran untuk mereka.

“Kami akan turun dengan misi untuk menang apabila bertemu Pahang pada perlawanan terakhir walaupun sebenarnya seri sudah memadai untuk menempah tiket ke separuh akhir,” katanya.

Kuala Lumpur bermula baik apabila mendahului seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penati Shahril Saabah.

Usaha skuad bimbingan S Chandran mencari gol penyamaan akhirnya membuahkan hasil selepas Marhan Jalil tenang menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-26.

Shahril menyumbat gol kemenangan Kuala Lumpur selepas menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-34 menewaskan Kumar.

Sementara itu Pahang mensia-siakan peluang terbaik untuk menjadi pasukan pertama melangkah ke separuh akhir apabila tewas 3-4 kepada Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 7:40 AM