BARISAN pemain Perak meraikan kejayaan memenangi Piala Tun Abdul Razak. FOTO MHC
BARISAN pemain Perak meraikan kejayaan memenangi Piala Tun Abdul Razak. FOTO MHC
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pasukan hoki Perak membuktikan keunggulan mereka apabila berjaya merangkul Piala Tun Abdul Razak buat kali ke-11, sebentar tadi.

Biarpun dibarisi majoriti pemain junior, Perak di bawah bimbingan Abdul Sukur Adam berjaya membuktikan mereka adalah yang terbaik apabila menumpaskan Pahang dengan jaringan 2-1.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Perak yang turun sebagai juara bertahan terlebih dahulu membuka jaringan menerusi jaringan padang yang dihasilkan oleh Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin pada minit ke-5.

Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki suku ketiga perlawanan Pahang akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi jaringan padang oleh bekas pemain kebangsaan, Ismail Abu pada minit ke-37.

Tujuh minit berselang Perak kembali di depan apabila Saiful Shahrul Saiful Bahri berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk menjadikan kedudukan 2-1 dan ia kekal hingga ke wisel penamat.

"Syukur Alhamdulillah. Pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka bermain bermati-matian untuk mengekalkan piala ini.

"Pasukan Perak hari ini membuktikan kami masih lagi mempunyai ramai pemain berbakat biarpun majoriti pemain dibarisi pemain muda," kata Abdul Sukur .

Terdahulu Perak berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Terengganu 2-0 semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 11:32 PM