AKSI sengit Melaka menentang Terengganu hari ini. FOTO MHC
AKSI sengit Melaka menentang Terengganu hari ini. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas puas membelasah lawan masing-masing pada perlawanan pertama semalam, Terengganu dan Melaka terpaksa akur berkongsi satu mata apabila kedua-dua pasukan seri 2-2 pada saingan Piala Tun Abdul Razak, hari ini.

Terengganu di bawah bimbingan K Rajan yang selesa menewaskan Kedah 9-0 semalam, nyata tidak dapat meneruskan aksi cemerlang itu selepas mendapat tentangan sengit daripada Melaka.

Kejayaan menewaskan Perlis 5-1 semalam, menjadi tonik terbaik untuk Melaka mengimbangi corak permainan lawan mereka yang juga naib juara musim lalu.

Bagi kapten Terengganu yang juga bekas pemain kebangsaan, Mohd Fitri Saari, keputusan itu agak melegakan kerana dia serta rakan sepasukan sedar Melaka bukanlah lawan yang boleh dipandang mudah.

"Sebelum ini tanpa barisan pemain skuad kebangsaan pun mereka dapat membentuk skuad yang kuat. Apapun bagi saya keputusan seri ini masih lagi pencapaian yang bagus.

"Barisan pemain juga beraksi dengan baik. Hanya satu saja kesilapan yang kami lakukan iaitu tidak memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol," katanya.

Suku pertama agak rancak apabila Terengganu di depan terlebih dahulu seawal minit ke-3 menerusi pukulan sudut penalti Wan Mohd Hazrul Wan Nawi.

Bagaimanapun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Iyad Zul Thaqif Zulkifli menyamakan kedudukan untuk Melaka seminit kemudian menerusi satu jaringan cantik.

Terengganu sekali lagi di depan namun jaringan Sufi Ismat pada minit ke-6 dibatalkan kerana bola belum melintasi garisan gol sebelum Muhammad Firdaus Omar kemudian meletakkan Melaka di depan hasil pukulan sudut penalti minit ke-13.

Bersambung suku kedua, Terengganu menggandakan asakan dan hasilnya mereka memperoleh gol penyamaan menerusi Fitri berpunca dari pukulan sudut penalti minit ke-28.

Kedua-dua pasukan berusaha untuk mencari gol kemenangan di suku ketiga dan keempat namun akhirnya terpaksa berpuas hati dengan keputusan muktamad seri 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 6:58 PM