PEMAIN wanita Pahang meraikan jaringan ketika berdepan Selangor. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
PEMAIN wanita Pahang meraikan jaringan ketika berdepan Selangor. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad hoki wanita Pahang hanya selangkah untuk ke separuh akhir apabila berjaya menumpaskan Selangor 2-1 dalam saingan Kumpulan X pusingan kedua Piala Tun Abdul Razak 2021 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Pahang hanya memerlukan keputusan seri menentang satu lagi wakil daripada Kumpulan X iaitu Kuala Lumpur untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Pengendali pasukan Pahang, Mohamad Sabri Mohamad bersyukur dengan kemenangan yang diraih oleh skuad bimbingannya dan menyifatkan persediaan termasuk melakukan analisis pukulan sudut penalti Selangor sebelum ini ternyata berhasil apabila anak buahnya berjaya menyekat beberapa kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki lawannya itu.

"Suku pertama kami bermula dengan kurang keyakinan tetapi selepas pemain menjaringkan gol penyamaan, kami berjaya untuk bangkit dan perbetulkan kembali posisi permainan kami serta berjaya menghasilkan gol kedua.

"Alhamdulillah pemain-pemain berjaya untuk menyekat Selangor daripada menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti, tetapi saya agak risau apabila kami memiliki kelebihan untuk menjaringkan gol padang namun sedikit tumpul.

"Walaupun kami kekurangan masa untuk memperbaiki kekurangan tersebut tetapi saya dan pemain akan cuba untuk memperbetulkan setiap kelemahan kami," jelasnya.

Sementara itu perebutan slot ke separuh akhir bagi kumpulan Y masih lagi terbuka selepas Melaka dan Kedah terpaksa berpuas hati dengan satu mata yang dikongsi hasil keputusan seri 2-2 yang dicatat mereka hari ini.

Bagi aksi Kumpulan W pula, Negeri Sembilan dan Perak turut membawa pulang satu mata apabila perlawanan tamat dengan keputusan seri 1-1.

Satu lagi perlawanan penentuan kedudukan 7 hingga 12 pula membabitkan aksi Kumpulan Z antara Sabah menentang PDRM tamat dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata tanpa sebarang jaringan terhasil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 10:01 PM