REAKSI pemain West Brom selepas tamat perlawanan menentang QPR. FOTO Agensi
REAKSI pemain West Brom selepas tamat perlawanan menentang QPR. FOTO Agensi
AFP

WEST Bromwich Albion mengesahkan kehadiran semula mereka ke Liga Perdana Inggeris selepas seri 2-2 menentang QPR manakala pencabar, Brentford kecundang pada hari terakhir musim Liga Kejuaraan.

Skuad Slaven Bilic akan menyertai juara, Leeds di liga utama musim depan selepas tamat aksi sengit di Hawthorns, awal pagi tadi.

Pasukan di tangga ketiga Brentford tewas 1-2 kepada Barnsley manakala Fulham di tangga keempat hanya mampu seri 1-1 di Wigan sekali gus memastikan Albion merampas tangga kedua dan mengesahkan kepulangan mereka ke Liga Perdana selepas dua musim tersisih.

Pengendali West Brom, Slaven Bilic menganggap kejayaan pasukannya ke Liga Perdana sebagai salah satu peristiwa membanggakan dan detik penting dalam kariernya.

"Anda tidak tahu betapa sukarnya musim ini. Tak dapat dibayangkan betapa bangga dan gembiranya saya. Saya mengendalikan negara saya selama enam tahun dan saya katakan tidak ada kelab dapat menandinginya. Kini saya rasa bangga seperti ketika itu," kata bekas jurulatih Croatia dan West Ham itu.

Sementara itu, juara Piala FA 2013 Wigan tergelincir ke League One bersama-sama Hull dan Charlton.

Charlton tewas 4-0 di Leeds yang menerima trofi Liga Kejuaraan pada perlawanan itu - trofi pertama mereka sejak 1992.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2020 @ 9:24 AM