DUA gol penalti Pereira bantu West Brom benam Wolves. FOTO AFP
DUA gol penalti Pereira bantu West Brom benam Wolves. FOTO AFP
AFP

London: West Bromwich Albion mencatat kemenangan pertama di bawah pengurus baru Sam Allardyce hasil bantuan dua sepakan penalti Matheus Pereira untuk menewaskan Wolves 3-2 sebentar tadi.

Allardyce gagal untuk mencatat kemenangan dalam lima aksi pertama sejak menggantikan Slaven Bilic yang dipecat.

Bagaimanapun, bekas pengurus England itu akhirnya boleh meraikan kejayaan pertemuan sejiran Black Country di Molineux.

Pereira meletakkan Albion di depan melalui sepakan penalti sebelum gol Fabio Silva dan Willy Boly membolehkan Wolves mendahului perlawanan sebaik separuh masa pertama berakhir.

Semi Ajayi menyamakan kedudukan sebaik aksi bersambung dan sepakan penalti kedua Pereira mengesahkan kemenangan pertama West Brom selepas lapan perlawanan liga.

Albion kekal di tangga kedua terbawah liga selepas kemenangan liga kedua mereka musim ini namun sekarang hanya dipisahkan tiga mata untuk ke keluar ke zon penyingkiran.

Wolves gagal mencatatkan kemenangan dalam enam perlawanan liga dan tidak pernah menumpaskan The Baggies bagi tempoh 10 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 11:20 PM