PAULUS (kanan)  fokus tingkat semula tahap kecergasan fizikal dan teknik permainan.
PAULUS (kanan) fokus tingkat semula tahap kecergasan fizikal dan teknik permainan.
Saiful Affendy Sapran


PAULUS Firman sudah berasa selesa dengan tugas baharunya selaku ketua jurulatih beregu campuran negara berbanding tanggungjawab sebelum ini sebagai ketua jurulatih beregu lelaki.

Pengendali dari Indonesia itu bagaimanapun tidak menafikan, sedikit sebanyak berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan tugasan baharunya itu.

"Ia cabaran baru kerana sebelum ini saya membimbing pasukan beregu lelaki dan selepas setahun, saya membantu Aaron Chia-Soh Wooi Yik menduduki ranking kelapan dunia.

"Tugasan baru ini sebenarnya bukanlah asing bagi saya kerana pernah mempunyai pengalaman menjadi jurulatih beregu campuran ketika bersama pasukan kebangsaan Indonesia. Saya teruja dengan cabaran baru ini," katanya.

Mengulas pengalaman sepanjang tiga minggu pertama membimbing beregu campuran negara, Paulus berkata barisan pemain negara tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan corak latihannya.

"Sepanjang tempoh tiga minggu ini kami memberi fokus kepada proses untuk meningkatkan semula tahap kecergasan fizikal dan teknik permainan," katanya.

Paulus memainkan peranan utama kepada perjalanan karier Aaron-Wooi Yik dengan antara kejayaan besar adalah membantu gandingan itu mara ke final Seluruh England pada tahun lalu.

Namun gandingan negara itu gagal memenuhi impian bergelar juara apabila tewas di tangan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2020 @ 11:58 PM