WOOI Yik (kiri) bersama Aaron.
WOOI Yik (kiri) bersama Aaron.
Datuk Seri Jalani Sidek

KETIKA arena badminton negara lesu sejak akhir-akhir ini, tiba-tiba nama Aaron Chia-Soh Wooi Yik menjadi sebutan ramai.

Semuanya selepas pasangan beregu muda negara itu mencipta kejutan dengan mara ke final Seluruh England.

Namun, sayang mereka tidak dapat melakar kemenangan selepas tewas kepada gandingan berpengalaman yang juga juara dunia dua kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Apa pun, ia pencapaian yang seharusnya mendapat pujian.

Sebab seperti pernah saya katakan sebelum ini Seluruh England mempunyai prestij tersendiri dan andai dapat melangkah ke final ia pasti satu kebanggaan kepada mana-mana pemain.

Apa lagi selepas ini? Pasti itu yang menjadi persoalan apakah hala tuju gandingan muda negara itu.

Kita tidak mahu bakat yang mereka miliki disia-siakan begitu saja. Saya berharap mereka dapat meneruskan aksi konsisten dalam kejohanan yang disertai selepas ini. Bagi saya tiada sebarang alasan lagi untuk mereka gagal menonjol.

Di luar gelanggang, Aaron-Wooi Yik perlu sedar mereka kini menjadi tumpuan.

Mereka seharusnya tidak terbawa-bawa dengan kejayaan mara ke final Seluruh England.

Sebenarnya saya sudah memerhatikan prestasi kedua-dua pemain ini sebelum mereka mencipta nama lagi.

Saya jangkakan mereka akan menjadi antara beregu terbaik dunia satu hari nanti dan jelas pencapaian di Seluruh England membuktikan tekaan saya tepat.

Kini saya ternanti-nanti apa lagi kejutan yang mampu dilakukan oleh pasangan ini. Jumpa lagi!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:01 AM