BEREGU lelaki negara, Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada hari ketiga Pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. FOTO/SYARAFIQ ABD SAMAD
BEREGU lelaki negara, Aaron Chia bersama Soh Wooi Yik ketika beraksi menentang beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi pada hari ketiga Pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. FOTO/SYARAFIQ ABD SAMAD
Ferzalfie Fauzi


MOMENTUM selepas beraksi cemerlang di Piala Sudirman masih lagi ada dalam diri gandingan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan ia diharapkan mampu diguna sebaik mungkin di Terbuka Australia minggu ini.

Perkara ini diakui Wooi Yik bahawa mereka berada dalam keadaan baik termasuk dari segi kecergasan dan bersedia menyambung semula kecemerlangan di Sydney.

“Kita mempunyai masa seminggu mempersiapkan diri untuk Terbuka Australia selepas baru pulang dari Nanning, China. Bagaimanapun, tahap kecergasan kami masih lagi dapat dikekalkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menurut Wooi Yik, setakat ini dia masih lagi berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan termasuk ketika berdepan juara dunia, Li Junhui-Liu Yuchen di Piala Sudirman.

“Berdepan pasangan terbaik dunia akan dapat meningkatkan lagi pengalaman kami dan belajar bagaimana untuk mengawal emosi di dalam gelanggang.

“Apa yang membuatkan kami lega dalam hal ini ialah jurulatih (Paulus Firman) tidak memberi tekanan kepada kami.

“Bagaimanapun, dia selalu berpesan agar sentiasa belajar dan meningkatkan diri,” kata Wooi Yik.

Sejak digandingkan pada 2017, pasangan negara itu masih gagal merangkul gelaran juara dengan pencapaian terbaik mereka adalah mara ke final sebanyak lima kali.

Ia termasuk ketika mereka melakukan kejutan melangkah ke final Seluruh England, Mac lalu sebelum tewas kepada bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Mereka akan membuka tirai Terbuka Australia menentang beregu Taiwan yang juga pilihan kelapan, Liao Min Chun-Su Ching Heng di pusingan pertama.

Aaron-Wooi Yik berpeluang untuk sekali lagi berdepan Junhui-Yuchen jika berjaya mara sehingga separuh akhir.

“Sasaran awal kami adalah untuk mara ke suku akhir terlebih dahulu, namun adalah lebih baik kami fokus demi satu perlawanan,” kata Wooi Yik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:00 AM