AARON-Wooi Yik dicabar keluarkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. FOTO ASWADI ALIAS
AARON-Wooi Yik dicabar keluarkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. FOTO ASWADI ALIAS
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yok dicabar untuk menampilkan aksi terbaik bagi memburu gelaran Seluruh England apabila turun beraksi pada Rabu.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, justeru beliau mahu pasangan yang berada di kedudukan nombor dua dunia itu bangkit semula dari kekalahan di pusingan kedua Terbuka Jerman di Mulheim, minggu lalu, selain menampilkan semangat yang tinggi di kejohanan badminton tertua dunia.

"Untuk Seluruh England ini, apa yang saya cakap kepada mereka adalah supaya mengeluarkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Aaron-Wooi Yik perlu berjuang untuk diri sendiri.

"Bagi saya, sasaran kita di sini adalah sama seperti beregu-beregu ternama yang lain. Saya yakin, semua beregu terbaik pasti mahukan kejuaraan, sama seperti kita juga," katanya.

Untuk rekod, juara dunia itu hampir berjaya meraih gelaran pertama mereka di Seluruh England pada 2019 selepas berjaya melangkahkan diri ke pusingan akhir sebelum terpaksa akur tumpas kepada beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Pada tahun ini, Aaron-Wooi Yik bakal membuka tirai cabaran bertemu menentang pasangan ranking ke-11 dunia dari Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin di pusingan pertama.

Dalam pada itu, Aaron, berkata kegagalan di Terbuka Jerman sudah menjadi sejarah buat dirinya dan Wooi Yik dengan fokus kini diberikan sepenuhnya terhadap saingan Seluruh England.

"Apa yang sudah berlaku, biarlah ia berlalu (kekalahan di pusingan kedua Terbuka Jerman). Fokus dan persiapan kami sekarang sepenuhnya adalah untuk menghadapi saingan di Seluruh England minggu ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 2:57 PM