BAM masih memerlukan khidmat Paulus Firman sebagai jurulatih beregu campuran negara. FOTO Facebook Paulus Firman
BAM masih memerlukan khidmat Paulus Firman sebagai jurulatih beregu campuran negara. FOTO Facebook Paulus Firman
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara kelahiran Indonesia, Paulus Firman masih diperlukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila beliau ditawarkan kontrak baharu untuk kekal bersama badan induk itu sehingga Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan (beregu) BAM, Rexy Mainaky berkata, kontrak Paulus bakal tamat pada 26 April ini dan mereka hanya menunggu jawapan daripadanya sama ada mahu menerima tawaran itu atau sebaliknya.

"Kami sudah memulakan rundingan dan mengemukakan tawaran sejak Januari lagi kerana tahu banyak proses perlu dilakukan termasuk membabitkan permit kerja Paulus.

"Sekarang ini terpulang kepada Paulus untuk memikirkan mengenai tawaran berkenaan sama ada terima atau sebaliknya.

"Ketika ini, beliau sedang bercuti selama satu minggu dan pulang ke Jakarta (Indonesia) dan akan kembali minggu depan. Saya percaya selepas dia pulang nanti, kita semua akan tahu keputusannya," kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, hari ini.

Paulus mula kembali ke pangkuan BAM pada 2018 dan ketika itu beliau diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih beregu lelaki sebelum ditukarkan kepada beregu campuran pada Mei 2020.

Sebelum itu, Paulus pernah bersama BAM selama 10 bulan pada 2013, namun meletak jawatan dan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih Filipina.

Antara pencapaian Paulus sejak kembali semula ke Malaysia pada 2018 adalah membantu beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berada dalam ranking 10 terbaik dunia.

Selain itu, beliau dilihat berjaya meningkatkan prestasi dua beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei yang menjadi watak penting kejayaan skuad negara mara ke separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 6:59 PM