AARON dan Wooi Yik pintas beregu veteran Indonesia.
AARON dan Wooi Yik pintas beregu veteran Indonesia.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan muncul juara dunia menyaksikan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melonjak di ranking keempat dunia sekali gus memintas idola mereka dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan.

Menerusi kemaskini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Aaron-Wooi Yik mengumpul 90,328 mata manakala Ahsan-Hendra yang tewas kepada pasangan negara di final Kejohanan Badminton Dunia dekat Jepun, Ogos lalu, jatuh di kedudukan nombor lima dunia dengan 89,495 mata.

Beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi mengekalkan status selaku gandingan nombor satu dunia apabila mengumpul 102, 050 mata diikuti beregu Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo di kedudukan kedua dengan 96,527 mata.

Juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin menghuni ranking nombor tiga dunia dengan mengumpul 96,098 mata.

"Terima kasih kepada semua yang berterusan memberi sokongan kepada kami. Fokus kami sekarang adalah persiapan bagi menghadapi kejohanan di Eropah," kata Aaron merujuk kepada Terbuka Denmark dari 18 hingga 23 Oktober dan Terbuka Perancis dari 25 hingga 30 Oktober.

Kedudukan keempat dunia itu sekali gus menyaksikan ia pencapaian terbaik mereka berdua sejak digandingkan pada 2017.

Paling membanggakan, dua lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei turut berada dalam kelompok 10 terbaik dunia iaitu masing-masing kekal di kedudukan nombor sembilan dan ke-10.

Ee Yi-Yew Sin yang juga pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia tahun lalu, mengumpul 72,490 mata manakala Izzuddin-Sze Fei meraih 69,375 mata.

Sementara itu, Goh Jin Wei yang baru muncul naib juara Terbuka Vietnam, kini memegang status selaku pemain perseorangan wanita nombor satu negara apabila menduduki tempat ke-44 dunia mengatasi S Kisona di kedudukan ke-46 dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 4:07 PM