Hazard bersama jersi baru Chelsea. FOTO Twitter Chelsea FC
Hazard bersama jersi baru Chelsea. FOTO Twitter Chelsea FC
Twitter/Esme Jo

PENYOKONG Chelsea hilang ‘mood’ pagi selepas kelab itu memperkenalkan jersi terbaru Nike untuk aksi di gelanggang sendiri (Stamford Bridge), hari ini.

Jersi itu digayakan oleh pemain lincah mereka, Eden Hazard yang menghiasi sesi penggambaran promosi itu.

Untuk seketika, mereka gembira melihat pemain kesayangan mereka menyarung jersi itu biarpun dikatakan akan berhijrah ke Real Madrid pada musim panas.

Bagaimanapun keceriaan mereka tidak lama apabila penyokong mula mengkritik rekaan jersi berwarna biru itu yang dianggap ‘melucukan’.

Hazard memperagakan jersi untuk kegunaan di Stamford Bridge. FOTO Twitter Chelsea
Hazard memperagakan jersi untuk kegunaan di Stamford Bridge. FOTO Twitter Chelsea

Malah, harganya juga boleh membuat mata berair.

Jika hendak, harga perlu dibayar adalah sebanyak £89.95 (RM485).

Peminat juga boleh membeli versi tertera nama Hazard dan angka 10 di bahagian belakang dengan harga lebih tinggi iaitu £102.90 (RM555).

Selepas beberapa minit jersi rasmi itu dilancarkan pada jam 8 pagi waktu Britain (3 petang waktu Malaysia), ramai merungut di media sosial.

Penyokong meluahkan rasa kurang selesa dengan rekaan terbaru itu dan tidak kurang mahu kelab Liga Perdana itu kembali menggunakan adidas seperti dulu.

Seorang peminat menulis di Twitter: “Baiklah, tidak mahu bergurau, mana satu jersi sebenar?”.

Tulis seorang lagi: “Mata saya berdarah melihat jersi ini.”

Seorang lagi penyokong Chelsea menulis 'ia benar-benar tidak menarik' manakala Dean Dobson mendakwa ia 'jersi tempat sendiri terburuk sepanjang zaman'.

Kehadiran Hazard bersama jersi baru 2019-20 menghidupkan semula harapan kelab itu menyakinkannya untuk kekal biarpun Zinedine Zidane berhasrat membawanya ke Bernabeu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 8:01 PM