PENYOKONG Chelsea berhimpun di luar Stamford Bridge menunjukkan protes. FOTO AFP
PENYOKONG Chelsea berhimpun di luar Stamford Bridge menunjukkan protes. FOTO AFP
AFP

Paris: Chelsea, kelab Inggeris terakhir yang menandatangani persetujuan untuk menyertai Liga Super Eropah (ESL), mengesahkan mereka juga menarik diri daripada kejohanan itu.

"Kelab Bolasepak Chelsea mengesahkan sudah memulakan prosedur biasa untuk menarik diri daripada kumpulan pelan pembangunan Liga Super Eropah," kata kenyataan kelab itu menerusi laman sesawang mereka.

Manchester United, Liverpool, Arsenal, Tottenham dan Manchester City terdahulu sudah mengumumkan tidak akan menyertai liga itu.

Penarikan diri Chelsea menyaksikan tinggal enam kelab iaitu Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, AC Milan, Inter Milan dan Juventus masih menyertai projek berkenaan.

Sebelum itu, penyokong Chelsea berhimpun di luar Stamford Bridge untuk menyatakan protes mereka ketika kelab London itu melakar keputusan seri 0-0 dengan Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris.

Penyokong kemudian bersorak gembira selepas menerima laporan Blues akan menarik diri daripada menyertai ESL.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 6:09 PM