HAZARD (kiri) melepasi kawalan pemain Leicester, Ricardo Pereira di Stadium King Power, malam tadi. — FOTO Reuters
HAZARD (kiri) melepasi kawalan pemain Leicester, Ricardo Pereira di Stadium King Power, malam tadi. — FOTO Reuters
AFP

EDEN Hazard memberitahu Chelsea dia sudah memutuskan mengenai masa depannya namun masih belum mengumumkan sama ada dia kekal di Stamford Bridge selepas spekulasi tidak henti-henti mengaitkannya dengan perpindahan ke Real Madrid.

Penyerang Belgium itu hanya ada setahun baki kontraknya selepas menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu dari Lille dengan harga £32 juta (RM173 juta) pada 2012.

Selepas beraksi sebagai pemain gantian ketika seri 0-0 di Leicester malam tadi, pemain kebangsaan Belgium itu mendedahkan dia sudah memaklumkan kepada kelab mengenai keputusannya.

“Ya. Beberapa minggu lalu. Ya saya sudah membuat keputusan tapi ia bukan hanya mengenai saya,” kata Hazard, yang diminta supaya kekal ketika melambai kepada penyokong Chelsea.

REAKSI Hazard selepas perlawanan terakhir liga musim ini. — FOTO Reuters
REAKSI Hazard selepas perlawanan terakhir liga musim ini. — FOTO Reuters

“Saya sudah membuat keputusan, muktamad.”

Apabila ditanya jika masa depannya lebih jelas selepas final Liga Europa menentang Arsenal pada 29 Mei ini dia berkata: “Saya fikir begitu juga. Kami ada final untuk diharungi dan kemudian kita tunggu dan lihat.”

Blues difahamkan meminta bayaran perpindahan £100 juta (RM541 juta).

Hazard bermain 21 minit terakhir di Stadium King Power ketika Chelsea berakhir di tangga ketiga Liga Perdana, 26 mata di belakang juara Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 9:30 AM