CHELSEA perlu menang jika mahu terus hidup peluang ke Liga Juara-Juara. -Foto Agensi
CHELSEA perlu menang jika mahu terus hidup peluang ke Liga Juara-Juara. -Foto Agensi
Reuters

MANCHESTER: Chelsea tahu mereka wajib menewaskan pesaing London, Tottenham Hotspur pada aksi Ahad ini bagi memastikan peluang realistik ke Kelayakan Liga Juara-Juara dan pencapaian sebelum ini mampu menjadi pembakar semangat mereka.

Spurs yang berada di tangga keempat kini lima mata di depan Chelsea dengan tujuh lagi baki perlawanan. Kemenangan ke atas Chelsea mengukuhkan lagi cengkaman anak buah Mauricio Pochettino s merebut slot terakhir ke liga elit Eropah itu.

Bagaimanapun, rekod buruk Spurs di Stamford Bridge sejak kebelakangan ini wajar dimanfaatkan skuad Antonio Conte.

Spurs tidak pernah menang dalam aksi liga di Stamford Bridge sejak 1990 yang ketika itu dibarisi bekas pemain England, Paul Gascoigne dan Gary Lineker.

Penyokong Spurs juga tidak dapat melupakan episod duka pada 2016 di Stamford Bridge apabila seri 2-2 dengan Chelsea walaupun mendahului 2-0 sekali gus juara Liga Perdana menjadi milik Leicester City.

Eden Hazard yang menjaringkan gol penyamaan ketika itu sekali lagi bakal menjadi duri berbisa kepada pertahanan Spurs sementara pemain Brazil, Willian berada di kemuncak prestasi ketika ini.

Skuad Pochettino sekali lagi beraksi tanpa penjaring terbanyak mereka, Harry Kane di bahagian serangan kerana masih lagi dalam proses pemulihan akibat kecederaan buku lali sejak 11 Mac lalu.

Pemain sayap Korea Selatan, Son Heung-min dijangka mampu menggalas tugas Kane selepas menjaringkan tujuh gol dalam lima penampilan terakhir bersama Spurs.

Sementara itu, pendahulu liga, Manchester City tahu kemenangan ke atas Everton di Goodison Park, Sabtu ini membolehkan mereka hanya selangkah menjulang trofi liga sebelum menerima kunjungan Manchester United di tempat sendiri minggu depan.

Skuad Pep Guardiola kini 16 mata di atas United tetapi pengurus dari Sepanyol tetap enggan mengambil mudah cabaran Everton. Citizens gagal menewaskan mereka dalam tiga percubaan sejak mengambil alih tugas di Etihad.

Kunjungan terakhir ke Goodison menyaksikan City tewas 0-4 dan kemungkinan keputusan sama tidak berulang. Kemampuan Everton seri 1-1 di Etihad Ogos lalu menunjukkan cabaran mereka tidak boleh dipandang sebelah mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Mac 2018 @ 12:20 PM