KEPA menyelamatkan sepakan penalti Paciencia di Stamford Bridge, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
KEPA menyelamatkan sepakan penalti Paciencia di Stamford Bridge, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

KEPA Arrizabalaga muncul wira Chelsea apabila penjaga gol Sepanyol itu mengemudi pasukannya layak ke final Liga Europa dengan menyelamatkan dua penalti ketika kemenangan dramatik 4-3 menerusi penentuan penalti ke atas Eintracht Frankfurt, awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Maurizio Sarri akan bertembung dengan musuh setempat London, Arsenal pada final sesama kelab Liga Perdana Inggeris di Baku pada 29 Mei ini ketika kali pertama semua finalis Liga Juara-Juara dan Liga Europa hadir dari England.

Chelsea mendahului pada separuh akhir kedua terima kasih kepada jaringan pemain tengah Ruben Loftus-Cheek pada babak pertama (minit ke-28) di Stamford Bridge.

Namun penyerang Luka Jovic menyamakan kedudukan sebaik selepas rehat (m-49) ketika pertembungan tegang itu berakhir 1-1 selepas masa tambahan dan 2-2 secara agregat.

HAZARD (kanan) memastikan Chelsea mara ke final selepas menyempurnakan penalti terakhir. — FOTO Reuters
HAZARD (kanan) memastikan Chelsea mara ke final selepas menyempurnakan penalti terakhir. — FOTO Reuters

Sepakan penalti Cesar Azpilicueta diselamatkan Kevin Trapp ketika penentuan penalti, namun Kepa menafikan percubaan Martin Hinteregger dan kemudian sepakan Goncalo Paciencia sebelum Eden Hazard merembat masuk tendangan penalti penentuan sekali gus mencetus suasana gegak-gempita di stadium itu.

Ia menebus ‘dosa’ Kepa apabila dia dikritik hebat kerana enggan digantikan pada final Piala Liga menentang Manchester City sebelum Blues tewas menerusi penentuan penalti.

Hazard juga gembira dengan sumbangan pentingnya dalam apa yang dilihat sebagai sepakan terakhirnya di Stamford Bridge susulan khabar angin dia berpindah ke Real Madrid hujung musim ini.

“Saya hanya memikirkan untuk memenangi sesuatu bersama kelab ini,” kata Hazard apabila ditanya sama ada final di Baku menjadi perlawanan terakhirnya buat kelab itu.

“Jika ini perlawanan terakhir, saya akan melakukan sedaya upaya untuk memenanginya. Saya belum tahu apa-apa lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 7:29 AM