Reuters

PENGURUS Cardiff City, Neil Warnock bimbang skuadnya yang menaruh harapan untuk kekal dalam Liga Perdana menjadi mangsa belasahan di tempat sendiri malam esok.

Kemenangan 2-0 ke atas Brighton & Hove Albion meredakan tekanan Cardiff namun mereka hanya dua mata di bawah zon selamat dan kini menduduki tangga ke-18.

Bagaimanapun, rekod Cardiff menentang enam pasukan teratas menimbulkan kebimbangan selepas mereka tewas kesemua sepuluh aksi musim ini.

"Ia akan menjadi hari yang hebat tetapi paling penting tidak dibelasah," kata Warnock.

"Kami perlu berusaha dan memberikan yang terbaik kepada penyokong yang dijangka memenuhi stadium.”

Cardiff melepaskan lima gol ketika menentang Manchester City dan Manchester United di tempat sendiri malah bolos tiga gol ketika menentang Tottenham Hotspur dan Arsenal.

Liverpool tiba di ibu kota Wales itu dengan lapan kemenangan berturut-turut dalam semua kejohanan dan Warnock menggesa pertahanan lebih berdisiplin untuk mengelakkan kekalahan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 8:18 PM