WARNOCK mahu anak buahnya contohi kejayaan Woods. - FOTO Reuters
WARNOCK mahu anak buahnya contohi kejayaan Woods. - FOTO Reuters
Reuters

PENGURUS Cardiff City, Neil Warnock menggesa pemainnya menjadikan kebangkitan sensasi ikon golf Tiger Woods sebagai inspirasi dalam misi mereka kekal dalam saingan Liga Perdana.

Woods mencipta salah satu kebangkitan menakjubkan dalam dunia sukan selepas dia memenangi Masters kelimanya, 11 tahun selepas kali terakhir memenangi kejohanan major.

Prestasi hebat pada pusingan akhir membolehkan Woods menyarung Jaket Hijau dan Warnaock berkata, Cardiff juga perlu kembali mencapai momentum sama dalam lima aksi terakhir mereka musim ini.

"Kami perlu menoleh ke sukan golf, saksikan apa yang dilakukan Tiger ketika tiada sesiapa pun memberikan peluang kepadanya,” kata Warnock menjelang aksi menentang Brighton & Hove Albion.

"Kami perlu menyambar peluang yang ada sehingga tamat musim ini.”

Cardiff berkunjung ke Stadium Amex dengan enam mata di bawah zon selamat dan Brighton yang juga bergelut untuk mengelak penyingkiran mempunyai kelebihan satu perlawanan di tempat ke-17.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 10:58 PM