PEMAIN Cardiff City meraikan kejayaan menjuarai Liga Kejuaraan selepas terikat 0-0 menentang Reading. FOTO Reuters
PEMAIN Cardiff City meraikan kejayaan menjuarai Liga Kejuaraan selepas terikat 0-0 menentang Reading. FOTO Reuters
Agensi

KEJAYAAN Cardiff City kembali ke saingan elit, Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan menerima pujian dan ucapan tahniah daripada nama-nama besar bola sepak dunia.

Cardiff yang diberi jolokan Bluebirds mengesahkan tempat ke EPL semalam, selepas seri 0-0 bertemu Reading dalam aksi Liga Kejuaraan ketika satu lagi pencabar, Fulham tewas 1-3 kepada Birmingham.

Bekas kapten England, Gary Lineker yang juga pengulas perlawanan di EPL menzahirkan ucapan tahniah menerusi laman sosial Twitter miliknya kepada kelab dari Selatan Wales itu berikutan kejayaan berkenaan.

“Tahniah kepada @CardiffCityFC kerana memenangi kenaikan pangkat ke Liga Perdana. Tidak sabar untuk mengucapkan selamat datang ke @BBCMOTD (BBC Perlawanan hari ini) pada Ogos.”

Bekas pemain Manchester United, Rio Ferdinand menerusi Twitter berkata: #BLUEBIRDS kembali ke @premierleague (EPL). Tahniah kepada semua orang di @CardiffCityFC.

Legenda QPR dan bekas pengulas di stesyen televisyen Sky, Rodney Marsh memuji pengendali Cardiff, Neil Warnock dan melabelnya sebagai “salah seorang pengurus liga bawahan terbaik.”

Begitupun, kejayaan kelab milik jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan itu tidak disenangi oleh beberapa peminat pasukan lawan yang turut mengeluarkan kata-kata cacian kepada pasukan itu.

Peminat kelab Aston Villa dikenali sebagai Harry berkata Bluebirds mungkin menjadi pasukan paling teruk pernah disaksikan di EPL dan menjangkakan mereka akan tersingkir selepas semusim dengan hanya mengumpul 24 mata.

Peminat Liverpool, Andy Wales pula menjangkakan Warnock akan dipecat Vincent sebelum penghujung tahun ini dan melabel Cardiff sebagai Stoke City baharu di EPL.

Seorang lagi peminat The Reds, Adam, yang jelas bukan peminat boleh sepak Wales menulis: “Harap Swansea kekal (di EPL) supaya mereka boleh tersingkir bersama-sama Cardiff pada musim depan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 8:41 PM