Pemain Everton dan Iceland Gylfi Sigurdsson meraikan jaringan ketika pasukannya menewaskanCardiff City, 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Cardiff. FOTO AFP
Pemain Everton dan Iceland Gylfi Sigurdsson meraikan jaringan ketika pasukannya menewaskanCardiff City, 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Cardiff. FOTO AFP
Reuters

GYLFI Sigurdsson menyerap tekanan kepada Cardiff City untuk semakin berada dalam kelompok penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dua jaringannya memastikan Everton menewaskan kelab Wales itu 3-0, pagi ini.

Sigurdsson ketika ini menjadi penjaring gol terbanyak dari Iceland dalam EPL untuk keseluruhan menyubat 57 gol berbanding 55 yang dimiliki bekas penyerang Chelsea, Eidur Gudjohnsen.

Aksi hambar pada babak awal pertama permainan bagaimanapun ditebus pada minit ke-41 selepas Sigurdsson menyumbat gol dari sepakan sudut Seamus Coleman.

Cardiff tampil lebih semangat pada separuh masa kedua permainan namun dikecewakan dengan gol kedua Sigurdsson pada minit ke-65 untuk sekali lagi menewaskan Neil Etheridge.

Malam yang buruk buat pasukan Neil Warnock apabila Dominic Calvert-Lewin turut mencetak nama sebagai penjaring gol ketiga Everton pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan pertama selepas tiga kekalahan berturut-turut pasukan kendalian Marco Silva itu.

Kemenangan itu membolehkan Everton berada di tangga kesembilan liga menjelang pertemuan tetangga dengan Liverpool, hujung minggu ini.

“Ia adalah tiga mata yang amat penting,” kata Silva yang berdepan tekanan sebelum ini. “Selepas gol kedua saya lihat pemain kami bermain dengan lebih kebebasan, dengan lebih keyakinan dan ketika itu kamu boleh lihat corak permainan kami yang sebenar.”

Cardiff sudah melepaskan lapan gol di gelanggang sendiri daripada dua perlawanan selepas turut dibelasah Watford 5-1, minggu lalu dan kekal di kedudukan ke-17 dengan perbezaan satu mata dari kelompok penyingkiran liga.

Cardiff berpeluang untuk mengisi tangga tiga tercorot liga jika Southampton yang beraksi di gelanggang sendiri menewaskan Fulham, pagi esok.

“Kami amat kecewa dengan keputusan itu tetapi masih ada 10 lagi perlawanan dan kami tidak boleh sentiasa memikirkannya,” kata pemain sayap Cardiff, Nathaniel Mendez-Laing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 9:31 AM