PENYERANG Atletico, Antoine Griezmann (kiri) berkata sesuatu kepada Henry. FOTO/AFP
PENYERANG Atletico, Antoine Griezmann (kiri) berkata sesuatu kepada Henry. FOTO/AFP
Reuters

MADRID: Atletico Madrid mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selepas menewaskan AS Monaco 2-0 di laman sendiri sambil memastikan pasukan pelawat kendalian Thierry Henry juga terlepas kelayakan ke Liga Europa.

Koke menjaringkan gol terpantas Atletico dalam saingan Liga Juara-Juara di bawah dua minit dan Antoine Griezmann melebarkan jurang pada minit ke-25 sebelum harapan Monaco untuk bangkit berkecai apabila Radamel Falcao gagal menyempurnakan sepakan penalti minit ke-83.

Kemenangan itu membolehkan Atletico, yang tersingkir di peringkat kumpulan musim lalu, mara ke kelompok 16 terakhir sebagai pendahulu Kumpulan A dengan 12 mata daripada lima perlawanan.

Keputusan seri tanpa jaringan Borussia Dortmund di laman sendiri menentang Club Brugge menyaksikan mereka mengikut jejak Atletico ke pusingan kalah mati tetapi hanya ketinggalan dua mata di belakang pendahulu itu sebelum perlawanan terakhir kumpulan menentang Monaco, manakala Atletico bertemu Club Brugge.

Monaco kekal di tangga tercorot dengan hanya satu mata dikutip daripada lima perlawanan.

“Kami perlu melepasi peringkat kumpulan, dan sejak Liga Juara-Juara bermula, kami terus mengorak langkah disebabkan apa yang berlaku tahun lalu,” kata Simeone.

“Selain daripada di Dortmund di mana kami tewas (4-0), ini adalah kempen yang sangat baik, dan ia memuaskan hati kerana semua perlawanan Liga Juara-Juara adalah sukar.”

Henry yang bergelut dalam tugasan pertamanya sebagai ketua jurulatih skuad utama, kini perlu memastikan juara Perancis itu kekal dalam saingan Ligue 1 musim depan.

“Melegakan dan memalukan pada masa yang sama,” kata Henry berkenaan kegagalan mereka layak ke Liga Europa. “Kami masih ada perlawanan menentang Dortmund tetapi perjuangan sebenar kami ialah menentang Montpellier dan perlawanan selepas itu.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 10:48 AM