PACO ALCACER
PACO ALCACER
AFP

DORTMUND: Paco Alcacer meneruskan rentak cemerlang bersama Borussia Dortmund dengan membantu kelab Bundesliga itu menewaskan Monaco 3-0, untuk kemenangan kedua berturut-turut Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Pemain gantian di babak kedua, Jacob-Bruun Larsen meletakkan Dortmund di depan dalam aksi di Signal Iduna Park, kurang enam minit dalam penampilan pertamanya di Liga Juara-Juara.

Penyerang pinjaman dari Barcelona, Alcacer menambah jaringan pada minit ke-72, sejurus selepas terlepas sepakan penalti, sebelum Larsen mengumpan bola kepada Marco Reus untuk gol keenamnya musim ini.

Dortmund menerajui Kumpulan A, mengatasi Atletico Madrid menerusi perbezaan jaringan, selepas kelab Sepanyol itu menewaskan Club Brugge 3-1 di Wanda Metropolitano.

 

“Secara keseluruhan, kami berhak dengan kemenangan ini, babak kedua lebih baik daripada yang pertama,” kata pengendali Dortmund, Lucien Favren. “Kami lebih baik ketika mengasak dan memenangi bola, ia memberikan kami keyakinan.”

Monaco kendalian Leonardo Jardim tergelincir ke tangga tercorot kumpulan selepas permulaan buruk musim ini berterusan – memenangi hanya satu daripada lapan perlawanan pertama liga dan berada dalam zon penyingkiran Ligue 1.

Ia adalah perlawanan pertama antara Dortmund dan Monaco sejak suku akhir Liga Juara-Juara 18 bulan lalu, di mana bas pasukan Jerman itu menjadi sasaran pengebom ketika dalam perjalanan ke Signal Iduna Park.

"Saya fikir cerita ini sudah habis,” kata penjaga gol Dortmund, Roman Buerki. “Tetapi ketika di dalam bas malam ini, saya lega apabila melepasi tempat itu (lokasi serangan berlaku).”

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 9:41 AM