PEMAIN AS Monaco kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO/AFP
PEMAIN AS Monaco kecewa selepas tamat perlawanan. FOTO/AFP
 AFP

MONACO: AS Monaco di bawah bimbingan Thierry Henry tewas memalukan 0-4 kepada Club Brugge sekali gus menyaksikan kelab dari Perancis itu tersingkir awal pada saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Penyerang Brugge, Hans Vanaken meledak dua gol dengan jaringan kedua menerusi sepakan penalti sementara penyerang Brazil, Wesley menyumbang gol ketiga sekali gus menyaksikan Monaco ketinggalan tiga gol hanya dalam tempoh 24 minit perlawanan.

Ruud Vormer menambah derita Monaco yang mencatat kekalahan terbesar di Eropah selepas dia meledak gol keempat lima minit sebelum tamat.

Henry gagal membantu pasukannya mencatat kemenangan sepanjang lima perlawanan sejak menggantikan Leonardo Jardim bulan lalu dengan Monaco terus kemarau kemenangan sepanjang 12 perlawanan.

Juara Liga Perancis 2017 itu sah tersingkir selepas Atletico Madrid menewaskan pendahulu Kumpulan A, Borussia Dortmund 2-0 awal pagi tadi.

Henry berdepan masalah kecederaan sebelum pertemuan dengan kelab itu selepas penyerang kebangsaan Russia, Aleksandr Golovin mengalami kecederaan buku lali.

Radamel Falcao kembali menggalas tugas selaku kapten dan berpeluang untuk mencetak gol pada awal perlawanan, namun tandukannya melepasi palang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 9:40 AM