THIERRY HENRY
THIERRY HENRY
AFP

BRUGES, Belgium: Monaco yang dilanda krisis kecederaan gagal memberikan Thierry Henry kemenangan pertama selaku ketua jurulatih apabila seri 1-1 dalam saingan Liga Juara-Juara di Club Brugge, awal pagi tadi.

Moussa Sylla memberi harapan buat Monaco menamatkan 11 perlawanan tanpa kemenangan dengan membuka jaringan selepas setengah jam permainan di Stadium Jan Breydel, namun Wesley meledak buat juara Belgium itu untuk memastikan satu mata.

“Kami kurang sedikit negatif berbanding di Strasbourg,” katanya selepas tewas di Strasbourg pada Sabtu. “Tapi seri adalah seri, ia bukan kemenangan.”

Kelab itu kini melalui 11 perlawanan Liga Juara-Juara tanpa kemenangan sejak menang 6-3 secara agregat mengatasi Borussia Dortmund pada suku akhir 2016-17.

Henry yang mengambil alih tugasan selepas Leonardo Jardim dipecat awal bulan ini, menyaksikan skuad muda miliknya menampilkan persembahan bersemangat walaupun dilanda masalah kecederaan dan keputusan berkenaan menyebabkan kedua-dua pasukan berdepan penyingkiran dalam Kumpulan A.

“Bukanlah mudah untuk mendapatkan mata jauh dari laman sendiri, tetapi kami tidak mahu terbawa-bawa,” kata pengendali berusia 41 tahun yang juga bekas bintang Arsenal. “Mereka lebih banyak memiliki bola berbanding kami tetapi kami agak kental.”

Borussia Dortmund dan Atletico Madrid mendahului kumpulan, lima mata di depan Monaco dan Brugge, menjelang pertemuan mereka di Signal Iduna Park awal pagi Khamis depan.

“Kami berhak menang, kami pasukan yang lebih baik di atas padang dan kami banyak mencipta peluang,” kata jurulatih Brugge, Ivan Leko.

“Dalam satu aspek saya gembira dengan apa ditunjukkan pemain saya, dalam satu lagi aspek saya kecewa tidak menang.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 11:11 AM