THIERRY HENRY
THIERRY HENRY
AFP

BRUGES, Belgium: Selepas dikritik hebat ekoran kekalahan memalukan kepada Strasbourg dengan 1-2 dalam saingan Ligue 1 Perancis Sabtu lalu, pengurus Monaco berdepan cabaran lebih getir apabila membawa pasukannya berdepan wakil Belgium, Club Brugge pada kempen Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi Khamis ini.

Thierry Henry yang baru saja mengambil alih tugas selaku pengurus minggu lalu, gagal membawa impak positif dalam penampilan pertamanya selaku pengurus apabila dicemuh terutamanya oleh media Perancis.

Ternyata kekalahan mengejutkan itu memberi tamparan hebat buat penyokong kelab itu yang turut bimbang dengan prestasi tidak menentu pasukan biarpun pada dua musim lalu berjaya menjuarai Ligue 1 untuk menamatkan dominasi Paris Sains Germain (PSG).

Bagaimanapun, rentak itu gagal diteruskan musim lalu apabila Monaco sekadar berpuas hati selaku naib juara di belakang PSG.

“Saya sedar agak sukar untuk meraih sesuatu selepas hanya dua hari memulakan tugas di Monaco,” kata Henry.

Jelasnya lagi, beliau meminta semua agar bertenang dan memberi sepenuh kepercayaan kepadanya untuk memperbaiki prestasi pasukan. Malah, ini pengalaman pertamanya selaku pengurus selepas hampir dua tahun bertindak sebagai penolong jurulatih Belgium di bawah kendalian Roberto Martinez.

Kemenangan ke atas Brugge cukup penting bagi menghidupkan peluang mereka dalam Kumpulan A selepas gagal meraih sebarang mata dalam dua aksi sebelum ini apabila tewas kepada Atletico Madrid dan Borussia Dortmund.

“Kami perlu mencari keputusan positif. Kami akan bermula dari kosong dan cuba perbaiki dari satu tahap ke tahap yang lain.

“Saya percaya seluruh barisan pemain juga turut mahukan kejayaan dan aksi bertemu Brugge cukup penting. Hanya kemenangan akan membuka jalan buat pasukan,” kata bekas pemain handalan Arsenal dan Perancis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Oktober 2018 @ 12:55 PM