PEMAIN Monaco, Radamel Falcao (kanan) melepasi pemain Atletico Madrid, Lucas Hernandez. FOTO/REUTERS
PEMAIN Monaco, Radamel Falcao (kanan) melepasi pemain Atletico Madrid, Lucas Hernandez. FOTO/REUTERS
AFP

DORTMUND: Borussia Dortmund melangkah ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara meski seri tanpa jaringan di laman sendiri menentang Brugge awal pagi tadi, bagaimanapun pendahulu Bundesliga itu bakal kehilangan Axel Witsel yang mengalami kecederaan lutut.

Selepas pendahulu Kumpulan A, Atletico Madrid terlebih dahulu mengesahkan tempat ke kelompok 16 terakhir dengan kemenangan 2-0 ke atas pasukan kendalian Thierry Henry, Monaco yang menghuni tangga kedua, Dortmund berjaya memperoleh mata yang diharapkan untuk turut bersama ke peringkat kalah mati.

Bagaimanapun, kejayaan itu agak menggusarkan buat Dortmund menjelang perlawanan seterusnya apabila bakal kehilangan pemain tengah mereka dari Belgium, Witsel yang mengutip kecederaan di bahagian lutut.

Peluang Brugge untuk layak sudah tertutup dan akan ke pusingan kalah mati saingan Liga Europa selepas mengesahkan kedudukan di tempat ketiga kumpulan.

Dortmund masih berpeluang untuk mendahului Kumpulan A jika mereka boleh menewaskan Monaco dalam masa dua minggu lagi dan Atletico gagal untuk menewaskan Brugge di Madrid dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

“Kami mempunyai dua peluang besar di awalnya dan kemudian situasi menjadi lebih sukar – kami tidak dapat mencari ruang itu,” kata pengarah sukan Dortmund, Michael Zorc.

“Tetapi melayakkan diri ke 16 terakhir adalah keutamaan.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 November 2018 @ 7:24 AM