HAKIMI (kanan) mengatasi penjaga gol Inter, Samir Handanovic untuk menjaringkan gol kemenangan di Dortmund, awal pagi tadi. — FOTO EPA
HAKIMI (kanan) mengatasi penjaga gol Inter, Samir Handanovic untuk menjaringkan gol kemenangan di Dortmund, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

BORUSSIA Dortmund bangkit daripada ketinggalan dua gol di laman sendiri menentang Inter Milan ketika Achraf Hakimi meledak dua gol untuk membantu kemenangan 3-2 pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Dortmund kelihatan hilang arah apabila ketinggalan 0-2 apabila Lautaro Martinez meletakkan Inter di depan selepas hanya lima minit sebelum Matias Vecino menokok gol kedua sejurus sebelum rehat di Signal Iduna Park.

Bagaimanapun pertahanan kanan Hakimi mencetus kebangkitan mengagumkan dengan menyudahkan gerakan yang dimulakannya lima minit selepas rehat sebelum Julian Brandt menyamakan kedudukan.

Hakimi, pemain kebangsaan Maghribi yang menyambut hari jadi ke-21 Isnin lalu, menyumbat gol kemenangan buat Dortmund 13 minit sebelum tamat.

MARTINEZ (tengah) membuka tirai jaringan di Signal Iduna Park. — FOTO EPA
MARTINEZ (tengah) membuka tirai jaringan di Signal Iduna Park. — FOTO EPA

“Berasa terlalu bagus,” kata Brandt kepada badan penyiar DAZN. “Kami tahu betapa pentingnya kemenangan buat kami pada perlawanan ini, tapi tindak balas pada babak kedua memang gila.

“Saya fikir kami masih berada di fasa pembangunan dan tidak semua mampu menyesuaikan diri lagi. Jika semuanya sempurna, mungkin ia agak membosankan juga,” katanya.

Keputusan itu meletakkan Dortmund di tangga kedua Kumpulan F, satu mata di belakang pendahulu Barcelona, yang akan mereka temui di Nou Camp dalam tempoh tiga minggu lagi.

Inter kini di tangga ketiga kumpulan, tiga mata di belakang Dortmund, sebelum perlawanan berikut mereka di Slavia Prague.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 12:19 PM