ALCACER (tengah) meraikan gol bersama Axel Witsel (kiri) di Dortmund, awal pagi tadi. — FOTO EPA
ALCACER (tengah) meraikan gol bersama Axel Witsel (kiri) di Dortmund, awal pagi tadi. — FOTO EPA
AFP

DUA gol Paco Alcacer pada masa kecederaan membantu Borussia Dortmund merampas kembali tangga teratas Bundesliga awal pagi tadi dengan kemenangan 2-0 ke atas Wolfsburg, menjelang pertembungan penting merebut kejuaraan menentang Bayern Munich minggu depan.

Jurulatih Bayern, Niko Kovac berkata, pertemuan dengan Dortmund Sabtu ini kini perlawanan yang mesti dimenangi selepas anak buahnya seri 1-1 di Freiburg dan merudum dua mata di belakang pencabar kejuaraan.

“Amat mengecewakan kerana kami bertindak baik untuk mengejar Dortmund dan kini kami perlu memulakannya sekali lagi,” kata Kovac kepada Sky.

“Saya harap pemain kini tahu apa yang perlu dilakukan hujung minggu depan. Kami mesti menang.”

KAPTEN Bayern, Lewandowski (tengah) menyumbat gol penyamaan dengan gaya akrobatik. — FOTO AFP
KAPTEN Bayern, Lewandowski (tengah) menyumbat gol penyamaan dengan gaya akrobatik. — FOTO AFP

Dortmund menangani petang yang sukar di Signal Iduna Park tanpa kapten Marco Reus sebelum Alcacer meledak dua gol pada minit ke-91 dan 94 bagi meraih kemenangan dramatik. Reus terlepas aksi itu untuk menanti kelahiran anak sulungnya.

“Kami sering kali percaya akan menjaringkan gol,” kata pemain Dortmund, Mario Goetze. “Ia tidak mudah dan kami agak bernasib baik, tapi ia membuktikan kualiti yang kami miliki.”

Freiburg mendahului hanya selepas tiga minit. Lucas Hoeler, yang menjaringkan gol penyamaan lewat aksi di Munich November lalu, melonjak mengatasi Mats Hummels untuk menanduk masuk hantaran silang Christian Guenter.

Namun juara bertahan itu membalas 20 minit kemudian apabila Robert Lewandowski menyamakan kedudukan menerusi penamat menakjubkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 10:38 AM