PEMAIN Dortmund terpaku selepas pemain Atletico Madrid, Saul Niguez meledak gol pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
PEMAIN Dortmund terpaku selepas pemain Atletico Madrid, Saul Niguez meledak gol pada aksi Liga Juara-Juara. FOTO Reuters
AFP

BERLIN: Mario Gotze berkata peneraju Bundesliga, Borussia Dortmund perlu melupakan segera kekalahan pertama mereka dan bangkit menjelang pertemuan genting menentang Bayern Munich.

Atletico Madrid berjaya membalas dendam kekalahan 4-0 di Dortmund dua minggu lalu dengan mencatat kemenangan 2-0 dalam aksi kumpulan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Ia adalah kekalahan pertama Dortmund pada musim ini.

Dortmund kini menerajui Bundesliga dengan kelebihan empat mata ke atas juara bertahan Bayern yang akan berkunjung ke Signal Iduna Park, Sabtu ini.

“Kekalahan adalah situasi yang baharu, tetapi kami tahu ia akan menjadi minggu yang getir apabila perlu bertemu Atletico dan Bayern. Kami perlu bangkit segera,” katanya.

Bagaimanapun, penjaga gol Dortmund, Roman Buerki yang hanya pernah dibolosi sekali sepanjang saingan liga, menganggap kekalahan itu sebagai satu perkara yang bagus.

“Ia tidaklah seteruk mana, sebaliknya kami kini kembali berpijak pada bumi yang nyata selepas beberapa minggu merakam keputusan baik,” kata Buerki.

Kekalahan di Madrid meninggalkan Dortmund dan Atletico kini terikat bersama sembilan mata ketika saingan Kumpulan A berbaki dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:52 PM