Megat D Shahriman kotakan janji. FOTO HM Digital
Megat D Shahriman kotakan janji. FOTO HM Digital
Azlan Muhammad Zain

 

PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mengotakan janjinya membantu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) apabila memberikan sumbangan berjumlah RM500,000 pada mesyuarat agung tahunan (AGM) keenam yayasan itu, hari ini.

Ia adalah antara bantuan awal diberikan Megat D Shahriman bagi meringankan beban YAKEB yang berdepan kekurangan dana.

Pengerusi YAKEB, Azlan Iskandar menyambut baik sumbangan itu dan tidak keberatan sekiranya beliau mahu terbabit dengan lebih aktif.

"Jika beliau memainkan peranan lebih besar ia adalah sesuatu yang lebih bagus. Kita perlukan individu seperti ini," katanya.

Sebelum ini, Megat D Shahriman menyuarakan hasrat untuk menjadi Ahli Lembaga Pengarah YAKEB bagi membantu yayasan berkenaan dengan lebih baik.

Antara disuarakan di AGM berkenaan adalah ahli YAKEB diberi peluang memilih sendiri Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah.

Perlembagaan YAKEB memberikan kuasa kepada Menteri Belia dan Sukan dalam membuat pelantikan dengan khidmat barisan kepimpinan ketika ini berakhir pada September 2019.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 3:53 PM