AHLI perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO Owee Ah Chun
AHLI perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin. FOTO Owee Ah Chun
Naqib Nor Said


KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menyambut baik hasrat ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin untuk membantu yayasan itu dalam menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi.

Pengerusinya, Azlan Iskandar berkata, pihaknya sedia berbincang mengenai terma dan syarat sumbangan daripada Shahriman termasuk melantiknya menjadi sebahagian daripada anggota lembaga pengarah pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan akhir pelantikan itu perlu mendapat persetujuan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Kami amat mengalu-alukan kesudian Datuk Shahriman untuk menyumbangkan dana dan kami sedia bertemu dengannya.

"Malah, dalam tempoh dua minggu lagi, kami akan mengadakan mesyuarat ahli lembaga pengarah dan kami akan cuba mendapatkan persetujuan semua sebelum memanjangkan mengenai pelantikannya kepada Menteri Belia dan Sukan," katanya.

Beliau mengulas kesediaan Pengarah Urusan Restoran Berputar Atmosphere 360 itu untuk menyumbangkan dana antara RM300,000 hingga RM500,000 selain menawarkan diri menjadi anggota lembaga pengarah badan kebajikan bekas atlet itu. 

Menurut Shahriman, beliau mahu turut sama dalam badan kebajikan itu supaya lebih banyak dana dapat dikumpul dan percaya sekurang-kurangnya lebih RM3 juta bakal diperoleh setiap tahun sekali gus dapat membantu dalam membela kebajikan bekas atlet.

Pada bulan lalu, YAKEB memaklumkan mereka terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet berikutan kehabisan dana.

Badan kebajikan itu juga akan menghentikan pengeluaran Surat Jaminan (GL) kepada mana-mana bekas atlet yang ingin menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan dan swasta.

YAKEB terpaksa berbuat demikian selepas dana RM3 juta yang disalurkan kerajaan sudah dibelanjakan untuk membantu lebih 2,400 bekas atlet yang memerlukan bantuan kewangan dan perubatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 4:41 PM