BEKAS jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor. FOTO Owee Ah Chun
BEKAS jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor. FOTO Owee Ah Chun
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor tidak kisah sesiapapun mahu memegang jawatan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) asalkan calon berkenaan mampu menyelesaikan masalah kekurangan dana dan menjamin kebajikan bekas atlet negara pada masa depan.

Berikutan itu, bekas Mr Universe dan Mr Asia berkenaan menyambut baik hasrat ahli perniagaan, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang mahu memegang jawatan Pengerusi YAKEB yang dikosongan bekas jaguh skuasy negara, Azlan Iskandar sejak pertengahan Oktober tahun lalu.

Paling penting bagi Malek yang pernah menjadi Pengerusi YAKEB sebelum ini ialah calon berkenaan mestilah benar-benar ikhlas mahu membantu memulihkan fungsi badan kebajikan yang kini kurang bermaya selepas dihantui masalah kekurangan dana sejak kebelakangan ini.

"Saya akan sokong sesiapa sahaja mahu menawarkan diri untuk menjadi Pengerusi YAKEB baharu dengan syarat menjaga kebajikan lebih 3,000 ahli dan mengembalikan kedudukan kewangan seperti dulu.

"Keadaan kewangan YAKEB sekarang memang tenat sehingga mereka tidak boleh mengeluarkan surat jaminan (GL) bagi membolehkan bekas atlet kebangsaan mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan di hospital atau pusat perubatan swasta seperti dulu. 

"Oleh sebab itu, sekarang ini kebanyakan bekas atlet kebangsaan yang mahu mendapatkan rawatan dan menjalani pembedahan perlu pergi ke hospital kerajaan sahaja," katanya.

Terdahulu, Megat D Shahriman mengumumkan kesediaannya untuk mengisi kekosongan kerusi selaku Pengerusi YAKEB selepas jawatan berkenaan dikosongkan penyandangnya, Oktober lalu.

Sebelum ini media melaporkan YAKEB mungkin terpaksa memberhentikan sementara program kebajikan dan bantuan perubatan kepada semua bekas atlet negara mulai 15 Ogos 2018 berikutan masalah kehabisan dana.

"Saya juga berharap kerajaan akan terus menyalurkan bantuan kepada YAKEB bagi membantu bekas atlet kebangsaan yang banyak berkorban dan boleh dianggap wira negara sama seperti anggota keselamatan seperti polis dan tentera.

"Kerajaan tidak boleh membezakan antara bekas atlet kebangsaan dan pesara polis atau tentera kerana kami sama-sama berjuang dan berkhidmat untuk negara. Jadi jangan anggap kami seperti sampah dan kain buruk," katanya Malek.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 8:03 PM