THOMAS ketika sesi latihan menjelang Piala Ryder di Le Golf National, semalam. - Foto Reuters
THOMAS ketika sesi latihan menjelang Piala Ryder di Le Golf National, semalam. - Foto Reuters
Reuters

PARIS: Justin Thomas melakukan penampilan keempat pada Piala Ryder, namun esok adalah kali pertama dia masuk ke lapangan mewakili Amerika Syarikat pada kejohanan dwitahunan menentang Eropah.

Thomas, anak lelaki pro kelab Kentucky, hanya berusia 11 tahun apabila dia menghadiri Piala Ryder 2004 sebagai penonton di Oakland Hills, Michigan.

Empat tahun kemudian dia mendapat peluang berada di rumah kelab apabila kejohanan itu diadakan di Valhalla, Kentucky.

Pada 2010 dia hadir di Celtic Manor, Wales, yang mana dia bermain separuh lapangan selepas mewakili AS pada Piala Ryder Remaja di Scotland.

“Ia amat menyakitkan,” kata Thomas, bercakap di Le Golf National semalam, mengenai pengalamannya di Wales.

THOMAS (kanan) bersama kapten AS, Jim Furyk menjelang Piala Ryder bermula esok. - Foto AFP
THOMAS (kanan) bersama kapten AS, Jim Furyk menjelang Piala Ryder bermula esok. - Foto AFP

“Melihat pemain, ramai daripadanya rakan sepasukan saya minggu ini, ia mengujakan.

“Ia sesuatu yang saya nanti-nantikan, sesuatu yang saya mahu capai sejak kecil.”

Sekalipun Thomas, 25, memenangi kejohanan utama selepas mengungguli Kejuaraan PGA 2017 dan menduduki ranking nombor satu dunia selama empat minggu tahun ini, dia kekurangan aura bintang rakan sepasukannya dan mungkin sukar mengawal ketenangan.

“Saya perlu mengawal emosi minggu ini kerana saya seorang pemain yang panas baran dan kadangkala tidak menentu,” katanya.

Dia pemain tunggal AS pernah beraksi empat pusingan kompetitif di Le Golf National, yang mana dia berkongsi tangga kelapan pada Terbuka Perancis tiga bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 1:17 PM