AFP

Paris: Jim Furyk (gambar) dinamakan sebagai kapten pasukan Piala Ryder Amerika Syarikat semalam untuk berdepan Eropah pada 2018 apabila pertembungan itu berlangsung di Le Golf National dekat Paris dengan pasukannya berusaha menamatkan badi 25 tahun.

Pemain berusia 46 tahun itu menggantikan Davis Love, yang berjaya mengemudi kemenangan 17-11 AS ke atas Eropah di Hazeltine di Minnesota tahun lalu dengan Furyk bertindak sebagai penolong kapten.

Eropah akan diketuai pemain Denmark, Thomas Bjorn pada kejohanan dari 28-30 September 2018 yang mana AS mengintai kemenangan pertama di gelanggang lawan sejak 1993.

Furyk, yang beraksi sembilan Piala Ryder berturut-turut dari 1997 hingga 2014, penuh berpengalaman selepas memenangi Terbuka AS 2003 dan 17 kejuaraan dalam Jelajah PGA AS.

“Ini satu penghormatan. Saya sebenarnya agak terharu,” kata Furyk.

“Ia bukannya satu rahsia, ia kejohanan kegemaran saya sepanjang karier. Bagi saya Piala Ryder mewakili segala-galanya yang istimewa mengenai golf.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2017 @ 5:07 AM