JIM FURYK
JIM FURYK
AFP

SAINT-QUENTIN-EN-YVELINES, Perancis: Pemain golf Amerika Syarikat begitu teruja untuk memenangi Piala Ryder di bumi Eropah buat kali pertama selepas gagal melakukannya selama 25 tahun.

Namun pasukan Eropah juga mahu merampas trofi itu semula sekali gus memenanginya buat kali ketujuh daripada sembilan percubaan.

Buat kali pertama, semua 10 pemain terbaik dunia akan bersaing pada kejohanan berprestij itu bermula Jumaat ini di lapangan Le Golf National dengan AS membariskan 12 pemain yang mana 11 daripadanya berada dalam ranking 17 terbaik dunia dalam usaha mereka menamatkan kemarau kemenangan di Eropah.

“Kami sering diingatkan mengenainya. Adakah ia memberi motivasi tambahan? Saya tidak pasti sama ada mereka memerlukan motivasi tambahan,” kata kapten AS, Jim Furyk.

Tiger Woods, pemenang 14 kejuaraan utama yang menamatkan kemarau kejuaraan selama lima tahun Ahad lalu, pernah memenangi piala itu hanya sekali daripada tujuh percubaan sekali gus tidak pernah memenanginya di Eropah.

Phil Mickelson juga gagal melakukannya sejak kali terakhir AS memenanginya di Eropah pada 1993 di The Belfry, England.

“Itu adalah antara yang kurang dalam karier pemain. Kami semua faham betapa sukarnya untuk menang di Eropah.

“Inilah cabaran yang akan kami hadapi minggu ini,” kata Furyk.

Kapten Eropah, Thomas Bjorn diperkuatkan dengan pemain nombor satu dunia, Justin Rose yang baru saja memenangi saingan playoff Jelajah PGA AS dan sebahagian daripada skuadnya tiba dari Amerika awal pagi semalam begitu juga skuad AS.

“Satu perkara yang saya pelajari daripada Piala Ryder adalah tidak kira betapa letih rasanya, anda akan tetap cuba mempamerkan aksi terbaik.

“Segala-galanya berkaitan dengan apa yang anda lakukan sebagai satu pasukan dan ia juga untuk membawa kembali trofi itu ke Eropah. Cabaran di Piala Ryder amat berbeza berbanding siri jelajah biasa,” kata Bjorn.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 10:11 AM