BJORN (belakang tengah) bersama pasukan Eropah yang menjuarai Piala EurAsia di Glenmarie GCC, tahun lalu. - FOTO Mohd Yusni Ariffin
BJORN (belakang tengah) bersama pasukan Eropah yang menjuarai Piala EurAsia di Glenmarie GCC, tahun lalu. - FOTO Mohd Yusni Ariffin
Saiful Affendy Sapran


LEGENDA Jelajah Eropah, Thomas Bjorn dan Miguel Angel Jimenez mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Maybank dari 21 hingga 24 Mac depan di Saujana Golf & Country Club.

Penyertaan Bjorn dan Jimenez menyaksikan saingan untuk merebut kejuaraan semakin menarik selepas Ernie Els dari Afrika Selatan dan kapten Piala Ryder 2020 Eropah, Padraig Harrington turut beraksi pada kejohanan berprestij itu.

Bjorn yang memenangi Jelajah Eropah sebanyak 15 kali, turut membantu Eropah menjarai Piala EurAsia di Shah Alam awal tahun lalu diikuti kejayaan menewaskan Amerika Syarikat pada saingan Piala Ryder di Perancis, September lalu.

Jimenez pula pemenang 21 gelaran dalam Jelajah Eropah.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, penyertaan Bjorn dan Jimenez mampu memeriahkan lagi kejohanan itu.

“Ia berita menarik bagi peminat golf di negara ini. Kami berharap mereka yang menyertai saingan kali ini dapat memberikan yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejohanan Maybank dengan slogan ‘Where The Best Meet’ adalah sebahagian daripada acara Race to Dubai sepanjang musim Jelajah Eropah dan akan menampilkan sekurang-kurangnya 15 daripada 150 pemain ternama dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 6:58 PM