TEE JING YI
TEE JING YI
Ferzalfie Fauzi

PEMAIN badminton beregu wanita negara, Tee Jing Yi tidak mahu terlalu memikirkan tempatnya dalam skuad Piala Uber, sebaliknya mahu memberi fokus dalam kejohanan terdekat terlebih dulu termasuk Terbuka Finland yang bermula Khamis ini.

Menurut bekas pemain perseorangan wanita negara itu, tumpuannya sekarang ini terarah kepada kejohanan yang disertai bersama Soong Fie Cho walaupun di peringkat kelayakan Piala Uber, Februari lalu dia berjaya menampilkan aksi terpuji.

“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai Piala Uber. Saya perlu fokus dan memberikan yang terbaik dalam kejohanan terdekat terlebih dulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jing Yi kembali bergandingan dengan Soong Fie Cho di Orleans Masters minggu lalu selepas berpasangan bersama Vivian Hoo di Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber) susulan kecederaan Woon Khe Wei.

Bagaimanapun, di Orleans Masters Jing Yi-Fie Cho terkandas di pusingan kedua selepas tumpas kepada gandingan adik-beradik dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva.

“Kali ini di Terbuka Finland saya juga akan beraksi dalam beregu campuran bergandingan bersama Shia Chun Kang dan perlu melalui pusingan kelayakan terlebih dulu.

“Saya rasa ia satu perkara baru buat saya untuk bermain dalam acara ini di peringkat antarabangsa. Bagaimanapun, sasaran saya hanya mahu memberi aksi terbaik saja,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Ia berbeza dalam saingan beregu wanita, apabila Jing Yi meletakkan sasaran bersama Fie Cho untuk mara sehingga perlawanan akhir.

Dalam aksi beregu campuran, Chun Kang-Jing Yi akan berdepan wakil tuan rumah, Jere Overmark-Inalotta Suutarinen di pusingan kelayakan.

Bagi saingan beregu wanita pula Jing Yi-Fie Cho diletakkan sebagai pilihan kedua dan akan mendapat bye di pusingan pertama.

Lawan mereka di pusingan kedua ialah pemenang di antara pasangan Finland, Tuuli Harkonen-Elina Niiranen dan Anastasiia Boiarun-Alena Iakovleva dari Russia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 6:03 PM