YIN FUN
YIN FUN

Kuala Lumpur: Skuad Piala Uber negara yang akan beraksi pada Kejohanan Berpasukan Asia di India minggu depan mengakui terkesan dengan ketiadaan Tee Jing Yi.

Jing Yi terpaksa diketepikan daripada skuad Piala Uber yang akan berlepas ke Hyderabad esok selepas mengalami kecederaan hamstring berulang.

Bagaimanapun, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen yakin akan kemampuan Lim Yin Fun yang dipilih mengisi tempat Jing Yi.

“Sudah pasti apabila anda kehilangan pemain utama ia akan menjejaskan sedikit persiapan. Tapi Yin Fun juga seorang pemain muda dan berbakat dan saya yakin dia mampu membantu skuad negara.

“Yin Fun masih muda dan memiliki bakat besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh dua tiga tahun akan datang,” katanya yang melihat barisan pemain menjalani latihan penuh bersemangat biarpun hanya diberi cuti dua hari sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Turut tersenarai bagi acara perseorangan wanita Goh Jin Wei dan Lee Ying Ying sementara bagi beregu Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Amelia Alicia-Soong Fie Cho dan Lee Meng Yean-Low Juan Shen.

Frost yang ditemui pada sesi latihan skuad negara di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam mengakui laluan skuad Piala Uber negara cukup berliku apabila diundi dalam Kumpulan A bersama kuasa besar, China dan Hong Kong.

Kejohanan di Hyderabad menawarkan slot ke pusingan akhir Piala Thomas-Uber di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:06 AM