myMetro

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly (gambar) mengakui berasa janggal berlatih tanpa pasangannya, Soong Fie Cho namun dia tidak mahu perkara itu mengganggu tumpuannya untuk membantu skuad Piala Uber beraksi cemerlang di Kunshan, China dari 15 hingga 22 Mei ini.

Menurut pemain dari Sabah itu, sukar untuk diluahkan dengan kata-kata apabila berlatih dalam skuad Piala Uber tanpa Fie Cho selepas pemain itu terpaksa berehat kerana mengalami kecederaan lutut.

“Saya rasa janggal tanpa dia (Fie Cho), ini kerana sepanjang karier saya hanya berpasangan dengannya. Bagaimanapun, saya tidak mahu perkara ini mengalih tumpuan saya ketika mempersiapkan diri untuk beraksi di Piala Uber,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Pencapaian paling cemerlang Amelia-Fie Cho adalah meraih emas di Sukan SEA Singapura tahun lalu selepas menumpaskan rakan senegara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

“Sasaran saya di Piala Uber nanti adalah membantu negara untuk meraih mata dan saya rasa skuad kali ini seimbang walaupun ada yang kali pertama beraksi,” kata Amelia.

Amelia juga mengakui tidak berdepan masalah untuk digandingkan dengan mana-mana pemain di Piala Uber nanti dan bersedia mengikut segala perancangan serta arahan jurulatih.

Selain Amelia, skuad Piala Uber yang diundi dalam Kumpulan A bersama China, Denmark dan Sepanyol dibarisi Goh Liu Ying (ketua pasukan), Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Soniia Cheah (perseorangan) Vivian-Khe Wei dan Chua Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:48 AM