PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mahu melupakan kekecewaan dan berazam kembali bangkit di Vantaa. - Foto Saifullizan Tamadi
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao mahu melupakan kekecewaan dan berazam kembali bangkit di Vantaa. - Foto Saifullizan Tamadi
Fabian Peter


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berharap tuah mampu kembali menyebelahinya pada saingan Terbuka Finland, selepas aksi kurang memberangsangkan di Cabaran Antarabangsa Vietnam bulan lalu.

Pemain berusia 19 tahun itu bermula dengan baik musim ini, sebelum impiannya untuk ke Piala Thomas sedikit terjejas, apabila tersingkir di pusingan kedua di Hanoi.

Namun Jun Hao mahu melupakan kekecewaan berkenaan dan berazam untuk kembali bangkit di Vantaa sepanjang minggu ini.

"Saya terlampau banyak berfikir mengenai Piala Thomas dan pelbagai perkara lain. Itu yang menyebabkan saya terlalu ingin kemenangan. Saya sedar apabila perkara itu berlaku, saya tidak mampu bermain dengan baik.

"Sasaran saya kali ini adalah untuk bermain mengikut rentak saya sendiri dan tidak mahu memikirkan perkara lain. Jika saya dapat bermain dengan baik, keputusan cemerlang bakal diraih.

"Setakat ini mengenai Piala Thomas saya mahu menyerahkan keputusan itu kepada jurulatih saja.

“Sasaran saya di Finland pula adalah untuk mara sehingga ke separuh akhir. Jika berjaya barulah saya akan memikirkan mengenai perkara lain pada masa akan datang," kata Jun Hao yang akan berangkat ke Finland esok bersama rakan sepasukan lain.

Sebelum beraksi di Vietnam, Jun Hao berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Austria, sebelum tumpas kepada rakan senegara Cheam Jun Wei.

Setakat ini pemain perseorangan lelaki yang semakin mengesahkan slot dalam skuad Piala Thomas ialah bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Pemain lain yang akan beraksi di Finland ialah perseorangan lelaki, June Wei; perseorangan wanita, Lee Zii Yi selain S Kisona, Lim Yin Fun, M Thinaah dan Lee Ying Ying.

Disamping itu, beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Chen Tang Jie-Hoo Pang Ron, Shia Chun Kang-Tan Wee Gieen selain beregu wanita, Goh Yea Ching-Yap Cheng Wen, Cheah Yee See-Peck Yen Wei dan Soong Fie Cho-Tee Jing Yi.

Turut serta beregu campuran, Sze Fei-Yea Ching selain Nur Izzuddin-Fie Cho, Pang Ron-Yee See, Wee Gieen-Cheng Wen, Chun Kang-Jing Yi dan Tang Jie-Yen Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 April 2018 @ 8:35 PM