AMELIA (kanan) dan Fie Cho pamer aksi cemerlang.
AMELIA (kanan) dan Fie Cho pamer aksi cemerlang.

Tidak banyak harapan diletakkan kepada gandingan beregu wanita negara di Kejohanan Dunia kali ini, namun Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho membuktikan mereka mampu menghadirkan keputusan cemerlang apabila melangkah ke suku akhir.

Gandingan pemenang pingat emas Sukan SEA Singapura itu mengejutkan pilihan utama yang juga beregu nombor satu dunia Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 21-15, 12-21, 21-14 semalam.

Kemenangan itu sebenarnya tidak diduga sama sekali Amelia serta Fie Cho lerama pernah tewas pada pertemuan terakhir di saingan Piala Uber, tahun lalu.

“Sudah tentu kami gembira dapat mara ke suku akhir. Tapi kami tidak mahu perjuangan ini terhenti di sini saja.

“Harap kami akan dapat melakukan kejutan sekali lagi di suku akhir nanti,” kata Amelia pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Jelas Amelia, meskipun mereka bukanlah gandingan pilihan, namun kerja keras serta sikap tidak pernah mengenal erti putus asa menjadi kunci kejayaan mereka.

“Walaupun kami bermain teruk atau kalah, kami tetap sentiasa bersikap positif.

“Kami hanya memberi tumpuan kepada permainan kami sendiri,” katanya.

Amelia-Fie Cho bakal bertemu wakil tuan rumah Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii di suku akhir, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 10:22 AM