HAMIDIN MOHD AMIN
HAMIDIN MOHD AMIN
Syafiq Aznan

 

CALON presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin perlu bersedia dengan transisi daripada ‘penerima arahan’ kepada ‘pemberi arahan’.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Zulakbal Abd Karim, secara dasarnya, Hamidin yang selama ini disifatkan bekerja ‘di belakang tabir’ layak untuk menjadi orang nombor satu persatuan itu namun masih ada kekurangan yang begitu ketara berbanding presiden terdahulu.

Zulakbal yang juga Pengajar Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkata, ‘kelemahan’ Hamidin ketika ini adalah kekurangan pengalaman selaku pemimpin organisasi yang berjaya memandangkan pengalamannya sebelum ini lebih kepada urusan pentadbiran.

“Tidak adil untuk kita katakan yang dia (Hamidin) tidak layak kerana kita lihat dia memiliki pengalaman luas sebagai pentadbir selain menjalin hubungan baik serta turut dikenali dalam kalangan persatuan sukan di negara ini.

“Ini membuktikan bahawa potensinya selaku presiden sudah ada di situ. Cuma cabarannya selepas ini adalah bagaimana dia sebagai seorang pemberi arahan mahu mempraktikkannya kepada semua ahli gabungan persatuan itu.

“Ini membabitkan sejauh mana dia mampu memastikan ahli gabungan dapat mengikut perancangannya seperti mana yang ditunjukkan oleh presiden terdahulu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, Zulakbal menegaskan banyak lagi elemen yang diperlukan untuk menerajui persatuan sukan yang menguruskan sukan nombor satu di negara ini.

“Presiden bukan setakat orang yang perlu faham bola sepak tetapi perlu lebih daripada itu dan antara elemen pentingnya adalah dia perlu dihormati dan memiliki pengaruh.

“Apapun, kalau calon itu sendiri yang disarankan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kita boleh tafsirkan yang Tunku Ismail percaya kepada kredibiliti Hamidin,” katanya.

Selepas secara rasmi melepaskan tugasnya sebagai Presiden FAM, Ahad lalu, Tunku Ismail membuat kejutan apabila mencadangkan nama Hamidin sebagai calon paling layak menggantikan tempatnya.

Bagaimanapun, keputusan sama ada peletakan jawatan Tunku Ismail itu bakal diterima atau ditolak bakal ditentukan pada mesyuarat khas badan induk itu, Isnin ini.

Pada masa sama, biarpun mendapat sokongan penuh Tunku Ismail, keputusan sama ada Hamidin terpilih untuk berada di kerusi panas itu atau tidak,tetap akan ditentukan menerusi undi ahli gabungan FAM.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Mac 2018 @ 4:49 PM