PAN-gon ketika sidang media di Wisma FAM.
PAN-gon ketika sidang media di Wisma FAM.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelab ternama Korea Selatan, Ulsan Hyundai dijangka menjadi destinasi terbaharu bekas pengendali negara, Kim Pan-gon selepas ini.

Perkara itu timbul menerusi laporan media Korea Selatan, Xports News yang mengaitkan nama Pan-gon.

"Jurulatih Kim Pan-gon yang cemerlang bersama skuad kebangsaan Malaysia dijangka akan kembali ke Liga Korea.

"Berkemungkinan destinasi seterusnya adalah Ulsan Hyundai susulan kekosongan ditinggalkan Hong Myung Bo," kata portal Korea Selatan itu.

Terdahulu, Pan-gon sah meletakkan jawatan selaku pengendali skuad Harimau Malaya selepas dua tahun empat bulan membimbing pasukan negara.

Sepanjang tempoh melatih pasukan sejak Februari 2022 lalu, Pan-gon berjaya membawa skuad negara ke pentas Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu serta menaikkan ranking negara dari kedudukan 154 ke 130 dunia.

Susulan keputusan Pan-gon itu, bekas pembantunya iaitu Pau Marti Vicente diberi tanggungjawab untuk mengendalikan skuad negara sebagai pemangku jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 9:08 PM