HAMIDIN mempunyai hubungan baik dengan AFC dan AFF. FOTO/FAIL
HAMIDIN mempunyai hubungan baik dengan AFC dan AFF. FOTO/FAIL
Zulfaizan Mansor

HUBUNGAN baik dengan persatuan bola sepak luar negara dilihat menjadi antara faktor mengapa Datuk Hamidin Mohd Amin layak untuk dipilih sebagai presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baru.

Bekas Bendahari FAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menjelaskan hubungan itu penting dalam memastikan segala program termasuk di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan baik.

“Hamidin bukan saja mempunyai hubungan yang baik dengan persatuan bola sepak dalam Malaysia, tetapi turut dikenali persatuan luar negara khususnya di Asia.

“Beliau ada hubungan yang baik dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF). Saya pernah bekerja dengan Hamidin dan saya tahu beliau seorang individu yang bagus.

“Saya memang setuju dengan kenyataan Tunku Ismail sebelum ini yang menyifatkan Hamidin calon paling layak untuk menerajui FAM,” kata Norza yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pencalonan Hamidin sebagai presiden baharu dicadangkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas beliau mengumumkan peletakan jawatan di kerusi nombor satu FAM itu, kelmarin.

Namun, Hamidin hanya boleh bertanding sekiranya FAM menerima peletakan jawatan daripada Tunku Ismail pada mesyuarat khas badan induk itu, Isnin ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Rezal Zambery Yahya yang turut senada dengan Norza menyifatkan Hamidin mampu membawa kemajuan kepada bola sepak negara.

“Hamidin memang berpengalaman dalam mentadbir persatuan termasuk ketika bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebelum ke FAM. Malah, dia ada hubungan baik dengan semua persatuan negeri dan kelab.

“Jadi, kami fikir dia memang layak untuk jadi presiden. Tapi, itu pun jika dipersetujui ahli gabungan dan kami di PFAM menyokong penuh mana-mana presiden baharu FAM.

“Malah, Hamidin juga sentiasa membantu PFAM dalam menyelesaikan beberapa permasalahan sebelum ini dan kami yakin hubungan yang baik itu dapat diteruskan sekiranya beliau dipilih sebagai presiden FAM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 9:19 PM